Penculik tuntut wang tebusan RM4 juta daripada keluarga mangsa - Utusan Malaysia

Penculik tuntut wang tebusan RM4 juta daripada keluarga mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Kumpulan penculik wang tebusan (KFR) menuntut bayaran sebanyak RM4 juta daripada keluarga mangsa culik di perairan Pulau Bodgaya di Semporna untuk diserahkan di lokasi yang tidak didedahkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, permintaan melalui panggilan telefon talian antarabangsa itu dilakukan suspek pada pukul 10.24 pagi, 18 September lalu.

Menurut Omar, berdasarkan maklumat awal, polis yakin panggilan telefon yang diterima isteri mangsa yang menetap di Sulawesi di Indonesia adalah melalui talian antarabangsa di selatan Filipina.

“Isteri seorang daripada mangsa telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai permintaan daripada kumpulan penculik berkenaan untuk menyediakan sejumlah wang tebusan sebanyak RM4 juta.

“Bagaimanapun, tiada syarat tambahan ditetapkan oleh suspek. Suspek mahu wang tersebut dikumpulkan kemudian mengaturkan pertemuan dengan isteri mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir di Perbarisan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Pada 11 September lalu, kira-kira pukul 1 pagi, dua rakyat Indonesia masing-masing berusia 30 dan 35 tahun diculik ketika sedang menangkap ikan oleh dua suspek bersenjata di perairan Pulau Bodgaya di Semporna.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibawa lari ke selatan Filipina sejurus mereka diculik menggunakan sebuah bot pam.

Sementara itu, polis bersama agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang akan melakukan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mengadakan kajian terperinci mengenai pengharaman semula penggunaan pam bot di perairan timur Sabah.

Tambahnya, sebarang keputusan kelak bergantung kepada kajian berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN