KOTA KINABALU – Kumpulan penculik yang melarikan dua warga Indonesia di perairan Pulau Bodgaya, Semporna pada 11 September lalu menuntut wang tebusan sebanyak RM4 juta daripada keluarga mangsa sebelum boleh dilepaskan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, permintaan itu dibuat kumpulan penculik menerusi panggilan telefon pada pukul 10.24 pagi, 18 September lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, panggilan telefon yang diterima oleh isteri salah seorang mangsa yang menetap di Sulawesi, Indonesia dibuat oleh suspek dari selatan Filipina menerusi talian antarabangsa.
“Isteri seorang daripada mangsa telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai tuntutan daripada kumpulan penculik berkenaan yang mahu kami sediakan wang tebusan sebanyak RM4 juta.
“Bagaimanapun, tiada syarat tambahan ditetapkan oleh suspek. Suspek mahu wang tersebut dikumpulkan kemudian mengaturkan pertemuan dengan isteri mangsa,” katanya ketika ditemui selepas Upacara Perbarisan dan Amanat Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini semalam.











