Pemilihan Sukan Olimpik, Asia akan lebih ketat - Utusan Malaysia

Pemilihan Sukan Olimpik, Asia akan lebih ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Proses pemilihan atlet ke Sukan Olimpik dan Sukan Asia perlu diperketatkan selepas menilai prestasi yang diraih oleh kontinjen negara dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, bulan lalu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, badan sukan tersebut akan menubuhkan Jawatankuasa Penilai Bebas yang dipengerusikan bekas jaguh pecut negara, Tan Sri Dr. M. Jegathesan dalam usaha memperkasakan sistem pemilihan atlet ke temasya sukan akan datang.

Katanya, jawatankuasa itu bakal dianggotai oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad dan Pengarah Unit Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas tamat Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, kita dapat banyak komen dan maklum balas terutama dalam proses pemilihan atlet yang menyertai temasya tersebut.

“Atas sebab itu, pihak lembaga eksekutif membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Penilai Bebas yang akan dipengerusikan Jegathesan selain turut dianggotai individu yang telah berkecimpung lama dalam sukan antaranya Mazlan dan Ramlan serta mungkin satu dua lagi akan dilantik.

“Mereka akan melihat dari segi SOP (prosedur operasi standard) bagi proses pemilihan atlet untuk temasya seperti Sukan Asia dan Olimpik yang mana kita harus memperkasa dan memperketat proses tersebut,” katanya selepas mengadakan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Norza berkata, MOM akan mengeluarkan surat bagi menyatakan sokongan terhadap Persatuan Hoki Asia (AHF) yang membuat permohonan untuk skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo secara automatik.

Mengikut peraturan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), hanya lima juara benua akan layak ke Sukan Olimpik secara automatik, yang mana bagi Asia, pemenang pingat emas Sukan Asia akan mendapat slot itu.

Skuad Malaysian Tigress gagal meraih kelayakan automatik itu apabila tewas 1-3 menerusi penentuan penalti kepada Jepun dalam final di Jakarta, selepas kedua-dua pasukan terikat 6-6. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini