Pemain O&G diseru berhati-hati - Utusan Malaysia

Pemain O&G diseru berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Pemain industri minyak dan gas (O&G) diseru untuk sentiasa teliti dan bertindak balas dengan berhati-hati terhadap landskap industri biarpun prospek global kini bertambah baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ketidakstabilan dijangka akan berterusan disebabkan faktor-faktor luaran seperti perang perdagangan dan risiko geopolitik yang lain.

“Walaupun ia jelas bahawa pemain kini menukar mod daripada kelangsungan perniagaan kepada mod pertumbuhan, saya menyeru semua pemain untuk sentiasa teliti dan bertindak balas dengan berhati-hati terhadap landskap yang tidak dapat diramalkan seperti yang kita lakukan di Petronas.

“Model perniagaan yang diterima pakai mestilah mantap bagi menghadapi kitaran harga yang wujud dalam industri O&G,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) 2018.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia (MOGSC), Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Azizi A. Hadi.

MOGSEC 2018 yang bermula dari 25-27 September 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dijangka men­jana jualan lebih RM400 juta.

Ia dianjurkan bersama MOGSC dan Malaysian Exhibition Services Sdn. Bhd. (MES) dan disokong antara lain, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Shell dan Telekom Malaysia.

Dalam pada itu Wan Zulkiflee berkata, sektor O&G Malaysia terus menunjukkan tindak balas positif dan ia dapat dilihat dalam jumlah pelaburan yang meningkat se­jajar dengan harga minyak yang lebih tinggi dan prospek yang lebih baik.

Katanya, harga minyak Brent pada tahun ini juga meningkat dengan ketara kepada AS$72 (RM297.70) setong, berbanding purata AS$54 (RM223.30) setong pada tahun 2017.

Bagi September 2018 pula, sebanyak 20 buah pelantar beroperasi di perairan Malaysia berbanding hanya 15 buah pada akhir tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN