SEREMBAN – Pelantikan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mungkin dilihat tidak bagus dari kacamata politik namun dari perspektif akademik bakal memberi banyak kebaikan kepada pentadbiran, ahli akdemik dan pelajar UIAM.
Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (Kongres MAAC), Datuk Prof. Mohd. Idrus Mohd. Masirin berkata, sebagai mantan ahli akademik di UIAM, Maszlee dilihat mampu membetulkan kepincangan dan kelemahan pentadbiran UIAM.
“Meskipun pelantikan beliau itu dilihat bercanggah dengan janji dan komitmen Pakatan Harapan yang mahu membebaskan universiti dan institusi pendidikan daripada pengaruh politik namun dijangkakan Maszlee akan dapat membetulkan kepincangan dan kelemahan pihak pentadbiran UIAM dari kacamata dan pengalaman beliau sebagai ahli akademik.
“Beliau dijangka akan dapat memartabatkan status ahli akademik di UIAM kembali kepada kedudukan yang sewajarnya. Pengalaman ramai ahli akademik yang aktif di dalam banyak NGO termasuk dalam Kongres MAAC mendapati ahli akademik di universiti awam mendapat layanan yang berbeza setelah autonomi universiti dilaksanakan.
“Ini, khususnya lebih ketara apabila universiti menerima bajet yang semakin berkurangan sehinggakan terdapat sekatan terhadap kenaikan pangkat terhadap ahli akademik berlaku secara tanpa disedari dengan alasan bahawa bajet universiti semakin berkurangan dan terbatas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama










