PARIT BUNTAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut manakala rakannya cedera ketika motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 118.7, Jalan Ipoh-Butterworth di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa, Muhammad Syamil Norsazlan, 16, meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya, Muhammad Faiz Danieal Mohd. Noor, 17, hanya luka di bahagian tangan kanan.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada pukul 3.55 petang sewaktu motosikal jenis Modenas Kris ditunggangi mangsa dan sebuah treler dipandu lelaki berusia 60 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Simpang Lima menghala ke Parit Buntar.
“Sewaktu tiba di tempat kejadian, motosikal itu dipercayai telah bergesel pada bahagian sebelah kiri treler yang hendak membelok ke simpang kiri jalan untuk ke rem kelapa sawit.
“Penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya cedera,” katanya.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat manakala rakannya turut dirawat di hospital sama. – K! ONLINE











