PARIT BUNTAR 29 Sept. – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggang mereka terjatuh setelah bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 118.7, Jalan Ipoh-Butterworth, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, Muhammad Syamil Norsazlan, 16, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Faiz Danieal Mohd. Noor, 17, luka di tangan kanan.
Katanya, kejadian pada pukul 3.55 petang itu berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa dan sebuah treler dipandu lelaki berusia 60 tahun dalan perjalanan dari arah Simpang Lima menghala ke Parit Buntar.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah bergesel dengan bahagian sebelah kiri treler itu yang hendak membelok ke simpang kiri jalan untuk ke tempat menjual kelapa sawit.
“Penunggang motosikal tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya cedera dan dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











