Pekerja syarikat telekomunikasi didakwa rompak telefon Samsung Note 9 - Utusan Malaysia

Pekerja syarikat telekomunikasi didakwa rompak telefon Samsung Note 9

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Seorang pekerja di bahagian khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak telefon pintar terbaharu jenama Samsung Galaxy Note 9 milik seorang akauntan, minggu lalu.

Yap Kah Lok, 24, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Kevin Ram Krishnan, 29, dengan melarikan telefon tersebut yang bernilai RM3,690 di sebuah taman permainan di Jalan Helang, Kepong Baru, Sentul di sini kira-kira pukul 10.50 malam, 8 September lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad tidak mencadangkan sebarang jaminan sementara Kah Lok yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia sudah berkahwin dan menanggung dua adiknya.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN