KUALA LUMPUR 19 Sept. – Akibat perselisihan faham, seorang pekerja penyelenggara pendingin hawa akhirnya dihukum penjara dua tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang buruh, awal tahun ini.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu selepas A. Poovanaru, 21, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas G. Chandra Segaran, 51, dengan menggunakan sebilah parang di Jalan Kovil Hilir, Sentul di sini kira-kira pukul 7 petang, 29 Januari lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Mahkamah memerintahkan Poovanaru menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 5 Februari lalu. Tertuduh menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Peguam, K. Komagan yang mewakili Poovanaru pula memohon hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan tertuduh telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang. -UTUSAN ONLINE











