BANGI – Tindakan pantas pasangan suami isteri keluar dari kenderaan yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bangi Avenue di sini malam tadi.
Kereta jenis Proton Satria Neo yang dinaiki mangsa, Erman Mahrilar, 43, bersama isterinya musnah 70 peratus akibat kebakaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Rosman Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 9.03 malam.
“Sejurus menerima panggilan tersebut, seramai enam anggota bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.
“Setibanya di lokasi tersebut, kami mendapati kereta berkenaan sudah terbakar dengan api yang sedang marak sebelum kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya lagi, mangsa dikatakan menyedari sesuatu tidak kena di kereta miliknya apabila melihat asap keluar dari bahagian enjin kereta berkenaan.
“Setelah ternampak asap tersebut, mangsa terus memberhentikan kenderaan dan keluar dari kereta bersama isterinya. Tidak lama selepas itu api semakin marak yang menyebabkan orang awam menghubungi balai bomba.
“Disebabkan mangsa dan isterinya sempat keluar dari kenderaan mereka dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kebakaran pula masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. – K! ONLINE










