Pas hanya suka bermimpi - Utusan Malaysia

Pas hanya suka bermimpi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 29 Sept. – Pas disifatkan sebagai sebuah parti yang hanya suka bermimpi kerana tidak mempunyai gambaran yang jelas berhubung dengan setiap keputusan yang dibuat.

Sambil menyifatkan keputusan Pas menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai tindakan yang terburu-buru, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Husam Musa berkata, setiap keputusan yang dibuat juga hanya berlandaskan mimpi presiden parti itu.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan oleh parti itu tidak bersesuaian dengan semangat era baharu bahkan tidak menggambarkan strategi politik Pas dalam memainkan peranan bersama membangunkan negara.

“Saya kira Pas tidak perlu menyertai PRK ini kerana sepatutnya mereka memberi ruang kepada pengukuhan kepemimpinan negara melalui penyertaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah, polisi dan pendekatan Pas juga tidak semestinya mereka perlu sentiasa menentang kerajaan sedia ada. Bukanlah saya mencadangkan Pas untuk sertai PH, kerana pakatan itu juga memilih untuk menolak Pas. Namun, bagaimana Pas boleh menggunakan ruang lain untuk bersama mengukuhkan negara ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Negeri ini kali ke-61 dan Koperasi Guru-Guru Muslim Kelantan Berhad kali ke-16 di Pejabat Pendidikan Daerah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan sebanyak 20 peratus tambahan daripada sebahagian wang royalti yang diberi kelak dicarumkan kepada rakyat negeri ini melalui penubuhan sebuah koperasi.

“Maksudnya, jumlah asal yang diputuskan masuk ke (akaun) Kerajaan Pas Kelantan dan sebahagian tambahan dimasukkan ke dalam koperasi rakyat negeri ini. Ini supaya rakyat dapat menikmati secara langsung faedah petroleum (wang royalti) bagi membangunkan ekonomi negeri ini pada masa akan datang.

“Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan belum diputuskan lagi. Saya juga berharap ada maklum balas daripada rakyat bagi peringkat permulaan ini sebelum diperincikan lebih mendalam lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN