LUNDU 29 Sept. – Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo) pakej satu menghubungkan Teluk Melano ke Sematan di sini, dijangka dibuka kepada pengguna mulai Januari tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Zohari Akob berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan kerja-kerja pembinaan jalan terbabit apabila ia dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Walau bagaimanapun, ujarnya, pembukaan laluan itu tertakluk kepada keputusan pihak berkaitan sama ada dapat digunakan Januari depan atau belum lagi.
“Setakat ini, semua kerja pembinaan projek pakej satu ini berjalan lancar dan segala masalah yang berlaku dapat diatasi dengan baik,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan di jajaran pakej pertama itu di Sematan, di sini petang ini.
Menurutnya, KKR juga menerima komitmen penuh daripada kontraktor dan pihak Lebuh Raya Borneo Utara (LBU) supaya projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
Katanya, komitmen baik itu diharap berterusan dikekalkan supaya dapat dicontohi pakej-pakej lain yang terdapat dalam pembinaan lebuh raya berkenaan. – UTUSAN ONLINE











