Pakar bius dapat ganti rugi RM50,000 - Utusan Malaysia

Pakar bius dapat ganti rugi RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Sept. – “Saya telah berkhidmat selama 15 tahun dan disyaki tidak hadir bertugas tanpa cuti. Walhal ketika perkara tersebut berlaku, saya berada dalam keadaan tidak sihat. Walaupun telah dimaklumkan kepada pihak atasan namun mereka tidak peduli. Akhirnya saya ditangkap dan ditahan secara salah tanpa melalui pro­ses pe­ngadilan,” ujar Kolonel Dr. Faiz Azraai Abdul Aziz (gambar).

 

Pakar Bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) itu telah ditahan selama em­pat hari secara sa­­­lah tahun lalu tan­pa dibawa ke Mahkamah Majistret terlebih dahulu.

Hari ini, Faiz Azraai, 42, bersyukur kerana kes saman beliau terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga lagi yang difailkan pada Mei tahun lalu berjaya diselesaikan secara baik selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh merekodkan penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peguam Mohamed Nasser Yusof memberitahu pembe­rita, kerajaan, Pegawai Memerint ah HATTM, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh dan Panglima Tentera Darat (kini bersara), Je­neral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Majlis Angkatan Tentera yang dinamakan sebagai pihak defendan bersetuju membayar ganti rugi RM50,000 dan kos RM10,000 kepada Faiz Azraai selaku pihak plaintif.

Dalam pernyataan tuntutan terpinda, Faiz Azraai menyatakan beliau telah ditahan di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail pada 4 Mei tahun lalu oleh anggota Polis Tentera atas kesalahan di bawah undang-undang perkhidmatan tentera kerana tidak hadir bertugas tanpa cuti.

Penahanan itu dibuat atas permintaan defendan pertama (Zulkeffeli). Pihak plaintif mendakwa, telah dimasukkan serta dikurung di dalam sel tahanan di 92 Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh pada pukul 2.45 petang tarikh yang sama tanpa dibawa ke hadapan majistret sehingga melebihi tempoh 24 jam yang dibenarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 174(4) Akta Angkatan Tentera 1972.

Pihak plaintif ha­nya dibawa ke Mahkamah Majistret 2 di sini pada pukul 2 petang, 8 Mei 2017 dan Majistret Mah­yudin Mohamad Som memerintahkan supaya pihak plaintif dibebaskan atas sebab penahanannya merupakan suatu tahanan salah dan tidak mengikut peruntukkan Seksyen 174(4).

Tindakan pihak defendan menahannya secara salah di sel yang digunakan sejak zaman penjajah lagi, dakwa pihak plaintif, telah menyebabkannya mengalami tekanan perasaan dan trauma hingga mengakibatkan berlakunya kesakitan fizikal.

Sehubungan itu, pihak plaintif antaranya menuntut ganti rugi untuk tangkapan tidak sah, ganti rugi am untuk kesalahan penahanan salah, ganti rugi bagi kesakitan dan kesengsaraan, ganti rugi untuk tekanan mental, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi khas dan ganti rugi am.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini