KUALA LUMPUR 14 Sept. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada 25 September ini bagi memberikan keterangan mengenai isu tuntutan tunggakan bayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST) bernilai RM19.4 bilion.
Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, selain itu PAC juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi memberikan penjelasan berhubung isu itu dalam memastikan siasatan yang dijalankan benar-benar menyeluruh.
“PAC Parlimen telah menjalankan prosiding pertamanya membabitkan isu tuntutan tunggakan GST ini pada Rabu dan Khamis lalu.
“Pada prosiding Rabu, PAC telah memanggil Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri T. Subromanian untuk memberi penjelasan manakala pada Khamis, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Siti Zauyah Md. Desa hadir memberi penjelasan isu yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan menerusi rekod JKDM yang disahkan jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah RM19.4 bilion sehingga 31 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE










