ALOR SETAR 15 Sept. – Tawaran ayam seekor pada harga 30 sen sempena sambutan ulang tahun ke-30 tahun penubuhan Ayam Bismi Sdn. Bhd. (Ayam Bismi) mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan setianya.
Ketua Pengarah Eksekutif Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, pihaknya menawarkan 150 ekor ayam pada 30 sen berbanding harga pasaran RM7.50 sekilogram.
“Seawal pukul 6.30 pagi lagi, pelanggan Ayam Bismi mula beratur untuk mendapatkan kupon untuk membeli ayam pada harga 30 sen seekor.

“Bagaimanapun, kaunter pendaftaran hanya dibuka sejam selepas itu. Sebanyak 150 keping kupon tersebut habis dalam tempoh kurang sejam sedangkan pelanggan yang beratur hampir 300 orang,” katanya selepas sesi cabutan bertuah kali ketiga Ayam Bismi di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengasas dan Pengerusi Ayam Bismi, Jaffri Ahmad.
Menurut Mazlina, pihaknya turut mengadakan promosi di semua cawangan Ayam Bismi di Kedah dan Perlis yang mana ayam dijual pada harga RM5.99 sekilogram berbanding semalam RM6.49 sekilogram.
“Untuk promosi pada kali ini, kita menawarkan kira-kira 15,000 ekor ayam segar tanpa perut kepada pelanggan.
“Sempena sambutan ulang tahun penubuhan Ayam Bismi ini juga, kita turut menawarkan 30 buah motosikal SYM E-Bonus 110 dan 300 periuk nasi kepada pelanggan bertuah,” ujarnya.

Sementara itu, ibu kepada pemenang cabutan bertuah, Norbalqis Hasin, 34, berkata, dia sama sekali tidak menyangka anaknya, Muhammad Adam Fariz Iskandar yang berusia lapan tahun itu bertuah untuk memenangi hadiah berupa sebuah motosikal.
“Kami tinggal di Jitra tapi apabila nak balik ke rumah ibu bapa saya di Yan, kami akan singgah beli ayam di kedai Ayam Bismi di Simpang Empat ini untuk dibawa pulang kerana harganya yang murah dan dijamin halal.

“Lebih kurang 10 borang juga diisi, sama ada nama letak anak mahupun kami suami isteri tapi tak sangka Muhammad Adam Fariz yang bertuah,” katanya yang berhasrat menggunakan motosikal dimenangi untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah. – UTUSAN ONLINE











