SEPANG 18 Sept. – Melaka berjaya meletakkan namanya setanding dengan bandar-bandar dunia lain apabila menerima anugerah One Planet City Challenge (OPCC) oleh Tabung Alam Sekitar Sedunia (WWF) di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada 12 September lalu.
Lebih membanggakan, Melaka menewaskan 132 bandar dunia lain yang turut mengambil bahagian antaranya Yokohama, Jepun; Vancouver (Kanada), Uppsala (Sweden) dan Izmir (Turki).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Azmi Hussain berkata, Melaka merupakan bandar pertama di negara ini menerima pengiktirafan kerana ia hanya dianugerahkan kepada bandar yang berjaya menjalankan program mitigasi perubahan iklim.
“Ini membuktikan usaha MBMB untuk menjadikan Melaka sebagai bandar raya hijau dan mengurangkan kadar intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 dan kami berjaya merealisasikan hasrat kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tiba dari San Francisco, AS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Pada masa sama, Azmi memaklumkan, kejayaan itu merupakan hasil pelbagai usaha yang dirintis sebelum ini, antaranya program pengindahan Sungai Melaka, pemasangan 1,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) dan kempen penanaman 15,000 batang pokok bunga.
Beliau menambah, MBMB telah mewajibkan setiap pemaju memasang lampu jenis LED bagi semua projek pembangunan hartanah.











