KUALA LUMPUR 30 Sept. – Polis menahan lima lelaki termasuk seorang remaja selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi sekatan jalan raya di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang berusia di antara 17 hingga 25 tahun itu menunggang motosikal dengan bersaing sesama sendiri dan melawan arus.
“Mereka didapati berlumba dengan melakukan aksi meniarap atas motosikal seperti ‘Superman’ ketika menunggang di kedua-dua lokasi.
“Op itu bermula pukul 11 malam hingga 5 pagi di Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) yang menjadi litar lumba haram di sekitar pusat bandar ini,” katanya di sini.
Menurut Zulkefly, mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun HS Lee untuk siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, Zulkefly berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebanyak 230 motosikal serta 35 kereta diperiksa dalam operasi tersebut dan daripada jumlah itu 11 motosikal, tujuh kereta disita kerana mengubah suai kenderaan seperti ekzos dan menggunakan cermin gelap.
“Selain itu, sebanyak 191 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada nombor pendaftaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











