IPOH – Nasib kembali menyebelahi atlet pelumba jalan kaki Kelantan Nurul Alyahazaqiah Kamarazaman yang merangkul pingat emas acara 10 kilometer (km) jalan kaki wanita dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 hari ini.
Nurul merakam masa terpantas 54 minit 42.45 saat untuk muncul juara meninggalkan peserta dari Wilayah Persekutuan Nurul Ashikin Hussin yang mencatat masa 55:02.92s untuk perak dan gangsa menjadi milik Koong Jia Lin dari Pahang dengan masa 55:23.36s.
“Saya berasa bangga dan amat berpuas hati pada perlumbaan hari ini. Walaupun saya sudah dikenakan dua kad merah, tapi saya kekalkan fokus untuk tidak lagi melakukan kesalahan dan terus menamatkan perlumbaan.
“Masa kena kad merah kedua tu, memang saya berasa sedikit tekanan, kerana jika saya dapat lagi satu kad merah, saya akan terus disingkirkan. Tetapi saya kawal diri saya dan pada pusingan terakhir tu saya perlahankan larian saya untuk menjaga dan tidak mahu melakukan kesalahan,” katanya kepada Bernama selepas perlumbaan itu.
Dua hari lalu, kemenangan pingat emas Nurul dalam acara 5,000 meter jalan kaki dinafikan oleh ketua juri kerana dikesan melakukan kesalahan teknikal di hujung perlumbaan.
Menurut Ketua Delegasi Teknikal Olahraga Sukma, Tan Boon Seng, terdapat dua kesalahan yang sering dilakukan pelumba yang boleh menyebabkan mereka disingkirkan daripada perlumbaan.
“Dua kesalahan kerana loss of contact atau floating (kaki tidak menjejak tanah) dan satu lagi jika lutut di kesan membengkok sewaktu perlumbaan,” katanya.
Pada acara 5,000 meter Isnin lalu, Nurul menerima tiga kad merah di mana dua kad telah diterima pada awal perlumbaan dan satu lagi kad merah diterima pada 100m terakhir sebelum Nurul menamatkan perlumbaan menyaksikan satu drama bantah-membantah telah berlaku selepas perlumbaan. – Bernama









