IPOH – Pelumba wanita Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir melakar sejarah buat kali kedua pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selepas mengungguli acara lepas beramai-ramai wanita semalam iaitu kemenangan kedua berturut-turut selepas edisi 2016 di Sarawak.
Pelumba berusia 21 tahun itu berjaya mempertahankan pingat emas apabila menamatkan perlumbaan yang berlangsung di Dataran Warisan Taping di tempat pertama dengan catatan masa 3 jam 40.914 saat (s).
Pingat perak menjadi milik pelumba Sarawak, Nur Azrenna Ahmad Jumry dengan kelebihan 0.295s, manakala Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli dari Terengganu merangkul gangsa dengan catatan masa sama.
Menurut Nur Aisyah, legasi yang akan ditinggalkan pada temasya dwitahunan tersebut diharapkan mampu memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba baharu khususnya dari skuad Terengganu.
“Ini adalah penampilan terakhir saya di Sukma. Apa yang saya lakarkan di sini akan menjadi satu sejarah penting untuk kontinjen Terengganu dan berharap ia mampu menjadi motivasi kepada pelumba lain untuk melakukan aksi yang lebih baik.
“Bukan mudah untuk berada di peringkat ini kerana saya memerlukan masa kira-kira dua tahun untuk kekal konsisten. Justeru saya berharap pengorbanan serta pencapaian ini dapat membuka mata pelbagai pihak khususnya dalam memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba baharu pada perlumbaan yang lebih besar.
“Saya berharap dapat mewakili skuad kebangsaan di pentas Sukan SEA di Filipina tahun depan. Jika boleh saya mahu beraksi dalam acara ujian masa individu sekiranya acara tersebut dipertandingkan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu atlet kelahiran Kemaman itu mula mencipta sejarah Sukma apabila menjadi satu-satunya pelumba yang meraih emas hatrik di Sukma dalam tiga edisi berturut-turut bagi acara ujian masa individu setelah mengungguli acara berkenaan Rabu lalu.











