Najib kemuka bukti RM2.6 bilion telah dipulangkan - Utusan Malaysia

Najib kemuka bukti RM2.6 bilion telah dipulangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menunjukkan bukti bahawa semua wang RM2.6 bilion yang sering dicanangkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) telah dipulangkan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, wang RM2.6 bilion itu merujuk kepada dana AS$681 juta yang dimasukkan dalam akaun peribadi beliau pada Mac 2013, iaitu kira-kira sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan.

Katanya, beliau telah diamanahkan mengikut Perlembagaan parti untuk mencari sumbangan dan mengurus wang parti secara peribadi dan kursus.

Menurut Najib, berdasarkan analisis sebelum PRU-13, Barisan Nasional (BN) mungkin kehilangan banyak kerusi Parlimen berbanding PRU-12 justeru menyebabkan beliau bimbang peristiwa ‘916’ (16 September 2008) besar kemungkinan akan berulang dalam PRU-13.

“Walau bagaimanapun, selepas PRU-13, saya lihat peristiwa 916 tidak akan berulang dan saya membuat keputusan pada Julai untuk memulangkan semua duit yang saya terima ini kerana tidak lagi memerlukannya.

“Maka selepas Ambank menggunakan masa seketika untuk menukarkan ringgit dalam akaun saya kembali kepada dolar Amerika Syarikat, kesemua dana ini dikembalikan kepada sumber yang diterima iaitu Tanore,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Najib menyatakan bahawa beliau tidak menyimpan dana sebanyak RM2.6 bilion itu.

“Jika seseorang mahu menyamun pun, tidaklah masuk akal untuk menyimpannya dalam akaun bank di atas nama sendiri dan kita tahu ia bukan dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana kita semua tahu dananya ialah dari sumber pinjaman.

“Wang yang dipinjam mesti dibayar balik dan jika mahu mencuri dari sana tentu akan bermasalah bila sampai masa untuk membayar hutang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN