NEW YORK 14 Sept. – Ramai menyifatkan diri mereka bertuah sekiranya berjaya mencecah usia sehingga 100 tahun, lebih-lebih lagi jika masih boleh bergerak aktif.

Untuk mencecah usia 111 tahun dan masih bersenam setiap hari kedengaran mustahil tetapi tidak bagi Henry Tseng.
Menariknya, lapor Mail Online, moyang kepada dua cicit itu sentiasa mengayuh basikal selama 30 minit setiap hari di Collins and Katz Family YMCA, Sawtelle, California bagi memastikan dirinya sihat dan cergas.
Dilahirkan di Yokohama, Jepun tetapi menetap di Los Angeles sejak 1975, Tseng sering bersenam sepanjang hidupnya.
Ketika dia berusia 80-an, dia sering melakukan yoga senam lantai dan pada usianya 90-an, Tseng menyertai kelas aerobik seawal pukul 6.30 pagi.
Menurut anak perempuannya, Linda Hsia, ketika bapanya muda, dia suka berenang dan bermain sukan luar.
“Ibu bapa saya selalu menjalani gaya hidup sihat. Mereka tidak minum minuman keras dan juga tidak merokok,” kata Linda.










