Mourinho bakal dipecat? - Utusan Malaysia

Mourinho bakal dipecat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 29 Sept. – Legenda bola sepak England, Alan Shearer percaya, Jose Mourinho bakal dipecat selepas Manchester United mengalami satu lagi kekalahan, tewas 1-3 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Bekas legenda United, Rio Ferdinand pula menjangkakan satu keputusan besar akan dibuat Red Devils dalam masa terdekat.

“Saya fikir, Jose Mourinho akan hilang jawatan.

“Saya tidak nampak dia mampu melakukan perubahan. Mereka tiada harapan dari awal hingga akhir, permainan terlalu lambat serta tiada tenaga,” kata Shearer ketika menjadi pengulas BBC.

Ferdinand yang bertindak sebagai pengulas BT Sport pula berkata, pemain senior di Old Trafford perlu mengadakan perbincangan serius mengenai kemerosotan prestasi yang dialami United ketika ini.

“Sebagai pemain bola sepak, kerja keras dan usaha sepatutnya menjadi DNA anda tetapi saya tidak lihat perkara itu hari ini.

“Saya tidak nampak pemain melakukan hantaran yang baik, saya tidak nampak mereka bermain dengan bersungguh-sungguh,” kata Ferdinand.

Dalam aksi di Stadium London, United ketinggalan seawal minit kelima menerusi jaringan Felipe Anderson, sebelum gol sendiri Victor Lindelof pada minit ke-43 menjadikan kedudukan 2-0.

Marcus Rashford merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-71, namun tuan rumah tidak menunggu lama untuk meledak gol ketiga menerusi Marko Arnautovic, tiga minit kemudian.

Kekalahan ketiga daripada tujuh perlawanan musim ini meletakkan United di tangga kelapan liga, malah ini kekalahan kedua berturut-turut selepas tersingkir di tangan Derby County dalam pusingan ketiga Piala Liga, Rabu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN