PORT DICKSON 30 Sept. – Ketua Pemuda UMNO Port Dickson, Mohd. Najib Tan Sri Mohd. Isa sedia berdepan tindakan parti itu kerana berkempen bagi bapanya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang anak untuk menyokong keputusan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad bertanding sebagai calon Bebas.
Ujarnya, beliau ditanya oleh beberapa pemimpin UMNO tentang perkara itu dan telah memberi penjelasan tentang pendiriannya untuk menyokong bapanya berkempen.
“Saya tak tahu sama ada akan dikenakan tindakan oleh UMNO, kerana pada masa ini saya lebih tumpukan kepada PRK. Soal itu saya fikirkan kemudian dan serahkan kepada parti.
“Sebagai anak saya kena berkempen memastikan kemenangannya. Bapa saya bertanding untuk mewakili orang Port Dickson kerana enam daripada tujuh calon bukan calon tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Isa yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang menghantar borang keluar dari UMNO baru-baru ini untuk bertanding sebagai calon Bebas selepas parti itu memboikot dan tidak meletakkan calon.
Berdasarkan perlembagaan parti itu, keanggotaan Mohd. Isa dalam UMNO secara automatik terlucut kerana bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK tersebut.
Dalam pada itu, Mohd. Najib berharap pimpinan UMNO memahami keputusan Mohd. Isa dan menegaskan bahawa bapanya tidak bertanding menentang calon UMNO atau Barisan Nasional (BN).
“Seingat saya situasi seperti ini kali pertama berlaku. Dulu memang ada ahli yang bertanding calon Bebas tetapi UMNO meletakkan calon dalam pilihan raya tersebut. Tetapi di Port Dickson tiada calon UMNO atau BN bertanding,” katanya. – UTUSAN ONLINE










