PORT DICKSON – Calon Bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menafikan dakwaan beliau ditaja oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun berkata, dakwaan beliau ditaja oleh Mahathir bagi menyekat kemaraan politik Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-8 adalah tidak berasas.
“Mahathir pun saya tak pernah jumpa. Nak jumpa apa sebab. Saya tak payah ‘diletakkan’ oleh sesiapa. Ini bukan kali pertama saya bertanding pilihan raya. Ini kali ke- 10. Tiada siapa mengajar pun saya sudah tahu (apa perlu dibuat)
“Ini isu yang disebut oleh pemimpin PKR yang pandai reka cerita. Tiada siapa suruh (bertanding). Saya dari dulu mahu bertanding di Port Dickson yang sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jijah Lama dekat sini hari ini.
Terdahulu beliau mengunjungi rumah salah seorang penduduk kampung berkenaan, Md Jamal Mawan, 57, dalam siri kempennya sempena PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson. – K! ONLINE











