JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pemilihan parti itu di Johor hari ini.
Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan dalam portal www.pemilihankeadilan2018.com setakat pukul 10 malam tadi, Mohamed Azmin memperoleh 4,234 undi untuk mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dengan 3,759 undi.
Pada pemilihan PKR di Pulau Pinang minggu lalu, beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut mengatasi Rafizi dengan kelebihan 176 undi.
Sementara itu, persaingan bagi jawatan Naib Presiden menyaksikan Nurul Izzah Anwar mendahului dengan undian sebanyak 4,164 undi diikuti Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dengan 3,880 undi.
Naib Presiden PKR yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A Xavier Jeyakumar menduduki tempat ketiga dengan 3,723 undi manakala bekas Anggota Parlimen Batu, Tian Chua di tempat keempat dengan 3,456 undi.
Pengundian yang bermula pada pukul 10 pagi itu menyaksikan kira-kira 20,000 ahli PKR yang layak mengundi memilih barisan kepimpinan melibatkan 24 cabang Johor. – K! ONLINE











