TIDAK dinafikan untuk menjana keuntungan di pasaran saham bukan hanya membeli saham ketika pasaran sedang dalam aliran menaik tetapi juga ketika pasaran sedang mengalami penurunan.
Faktor yang menyebabkan pasaran jatuh telah banyak kali diulas di ruangan ini. Walau bagaimanapun, kejatuhan yang drastik ataupun ketika sesuatu krisis berlaku seperti krisis ekonomi atau kewangan ada kalanya merupakan satu peluang yang besar kepada pelabur dan pedagang saham.
Walau bagaimanapun, ia memerlukan kepakaran serta disiplin yang tinggi ketika menghadapi situasi yang sukar atau ketidaktentuan dalam pasaran.
Walaupun secara dasarnya mungkin ramai yang beranggapan membeli saham ketika pasaran sedang jatuh atau beli ketika harga murah, ia tidaklah semudah itu. Kerana ketika pasaran jatuh, biasanya kita akan melihat bermacam-macam artikel atau kenyataan di media sosial, media cetak mahupun elektronik.
Sudah tentu dengan membaca kenyataan atau artikel tersebut akan mempengaruhi keputusan dan tindakan kita. Justeru, ia berpotensi mengubah matlamat dan prinsip asal kita dalam pelaburan saham.
Mempunyai pelan pelaburan atau perdagangan merupakan satu perkata yang penting pada seseorang yang mempunyai wawasan dan disiplin yang tinggi. Golongan ini sangat komited dengan perancangan dan tatakerja mereka dalam memastikan segala persiapan dan pelan tindakan dituruti.
Adakalanya mereka membuat satu senarai kajian saham yang agak terperinci dan kemas yang berpandukan kepada kajian-kajian carta pergerakan pasaran, sektor-sektor yang dikenal pasti berpotensi, jangkaan atau ramalan trend pasaran yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang tepat ketika membeli dan menjual saham.
Sebagai contoh, di dalam satu pergerakan menaik yang kuat dengan disokong pemangkin yang positif, mereka membuat matlamat untuk meraih keuntungan sebanyak yang mungkin. Dan ketika pasaran dalam aliran menaik yang sederhana, mereka mengawal jumlah pembelian saham agar tidak terlebih beli serta cepat mengambil keuntungan seberapa yang boleh.
Dan ketika pasaran berada di dalam ketidaktentuan, mereka mengambil keputusan untuk meminimakan pembelian saham atau tidak langsung masuk pasaran. Mereka akan menunggu signal atau petunjuk positif untuk masuk semula pasaran.
Golongan yang mempunyai disiplin yang tinggi dan berwawasan juga sentiasa berhati-hati dan tidak terlalu ghairah ketika pasaran sedang rancak atau bullish. Ini disebabkan apabila pasaran memasuki fasa bullish, ia kemudiannya akan bertukar kepada aliran menurun atau fasa pembetulan harga disebabkan penjualan serta pengambilan untung.
Menguruskan pelan tindakan pengurusan wang juga merupakan satu kewajipan bagi setiap pelabur dan pedagang saham. Kita tidak boleh membiarkan portfolio pelaburan semakin menyusut atau kerugian bertambah besar.
Pelabur perlu mempunyai pelan tindakan untuk mengatasi masalah ini. Pelan pengurusan risiko yang baik merupakan satu strategi yang berkesan untuk membaik pulih portfolio pelaburan yang negatif.
Setiap pelabur dan pedagang saham perlu tahu di manakah kesilapan yang telah dilakukan serta tahu jalan keluar mengatasi permasalahan tersebut. Bertanya atau minta nasihat pakar pelaburan yang diiktiraf dan belajar dari kesilapan agar ianya tidak berlaku lagi di masa hadapan.
Pelabur dan pedagang baharu selalu mengambil untung yang kecil sebaliknya membiarkan kerugian menjadi semakin besar. Ini ialah kerana newbie saham menjual terlalu cepat saham yang sedang bergerak naik tetapi membiarkan di dalam portfolio saham-saham yang semakin jatuh harganya untuk satu tempoh yang lama disebabkan kekurangan ilmu dan pengalaman.
Mereka tidak mempunyai perancangan atau pelan tindakan bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Akibatnya newbie saham jarang bertahan lama dalam pasaran lebih-lebih lagi yang bermodal kecil serta menggunakan wang untuk melabur atau berdagang saham daripada wang yang bukan berlebihan.
Maka itu, sentiasalah belajar dan menambah ilmu pengetahuan.
Ilmu saham sememangnya amat luas tetapi ia tidak bermakna kita perlu belajar setiap hari atau sepanjang masa. Kita boleh memperuntukan sedikit masa untuk membaca untuk menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada. Banyak bahan bacaan percuma yang boleh didapati di internet dan carilah bahan bacaan ringan sekiranya kita masih baru.










