SAUDARA PENGARANG, MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke telah bersetuju untuk membuka laluan udara ke pedalaman Sarawak kepada syarikat penerbangan komersial selain penyedia perkhidmatan sedia ada.
Ini adalah khabar gembira kepada penduduk Sarawak memandangkan pekan-pekan di pedalaman kini lebih mudah ‘dicapai’ untuk potensi pembangunan pelancongan dan mengurangkan waktu perjalanan.
Keprihatinan kerajaan Pusat terhadap keperluan penduduk Sarawak sangat dihargai memandangkan langkah ini akan memberi kesan hingga ke peringkat akar umbi.
Seperti dinyatakan Menteri Pengangkutan, kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi penduduk luar bandar di Sarawak berkaitan pengangkutan memandangkan jarak lokasi yang besar dan keadaan jalan raya kadangkala tidak memuaskan.
Pembukaan laluan udara ke pedalaman tahun hadapan akan membolehkan persaingan sihat penyedia perkhidmatan seterusnya menurunkan kadar tambang. Namun, realitinya bilangan penumpang mungkin tidak kondusif untuk menarik minat syarikat penerbangan komersial lain.
Malah tiada jaminan bahawa MASwings selaku operator sedia ada akan meneruskan operasi ke destinasi pedalaman sekiranya persaingan baharu menjejaskan kos operasi mereka.
Adakah ini bakal membawa kepada penarikan balik laluan perhubungan antara pekan di pedalaman dengan pusat bandar-bandar utama di Sarawak jika kos operasinya tidak menguntungkan?
Melihatkan senario ini, adalah tidak realistik untuk mengharapkan hubungan melalui laluan udara bagi pembangunan kawasan pedalaman di Sarawak terutama sekali disebabkan bilangan penduduk yang kecil dan kurangnya perindustrian untuk menampung keperluan mereka.
Sarawak memerlukan hubungan jalan raya ke kawasan pedalaman bagi membangunkan potensi mereka dan menarik pelaburan untuk pembangunan.
Walau bagaimanapun, hubungan pengangkutan udara yang lebih baik sama ada laluan pedalaman atau antarabangsa amat dialu-alukan dan dihargai penduduk Sarawak.
PHILIP WONG PAK MING
Kuching, Sarawak










