Mayat-mayat bergelimpangan - Utusan Malaysia

Mayat-mayat bergelimpangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALU, Indonesia 29 Sept. – Mayat-mayat kelihatan bergelimpangan apabila sekurang-ku­rangnya 384 orang kini disahkan terkorban dan ratusan lagi hilang selepas gempa bumi yang mencetuskan tsunami melanda pulau Sulawesi.

Gempa dan tsunami kuat yang melanda bandar Palu semalam menyaksikan banyak bangunan musnah, selain mencetuskan keadaan huru-hara apabila ba­nyak penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi dan bekalan elektrik juga terputus.

Satu rakaman video yang diambil dari kawasan letak kereta di sini yang terletak hampir 80 kilometer dari pusat gempa menunjukkan ombak tsunami meranapkan beberapa bangunan dan merosakkan struktur masjid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pihak berkuasa menyatakan jumlah korban yang diketahui setakat ini adalah berdasarkan laporan perubatan tetapi tidak menolak bahawa ang­ka itu akan terus meningkat dalam masa terdekat dengan sekurang-kurangnya 540 orang cedera.

Menurut laporan tempatan, banyak mayat bergelimpangan di pantai Palu selepas tsunami setinggi sehingga enam meter melanda bandar tersebut yang dihuni kira-kira 350,000 penduduk.

Kebanyakan hospital di bandar ini sesak dengan ratusan penduduk yang ingin mendapatkan rawatan kecemasan akibat kecederaan, manakala orang ramai membantu pihak berkuasa melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mang­sa-mangsa yang terjejas.

Gempa bumi sederhana sekuat 7.5 skala Richter yang melanda Palu semalam adalah lebih kuat berbanding gempa yang berlaku di Lombok sehingga meragut ratusan nyawa pada Julai dan Ogos lalu.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi­tahu bahawa pasukan tentera sudah dikerah ke tempat bencana bagi membantu operasi SAR dan mengeluarkan mayat-mayat mangsa.

Beberapa imej yang dikongsi oleh agensi bencana kebangsaan Indonesia juga menunjukkan sebuah pusat beli-belah rosak teruk dengan satu tingkat bangunan berkenaan runtuh.

Banyak kediaman serta hotel turut musnah akibat bencana tersebut termasuk jambatan yang menjadi mercu tanda bandar Palu, selain berlaku tanah runtuh sehingga menutup jalan-jalan utama.

Sementara itu, agensi geofizik Indonesia (BMKG) dikritik kerana gagal mengesan tsunami apabila menarik balik amaran 35 minit selepas mengeluarkannya.

Kegagalan itu disebabkan ketiadaan data pemerhatian di Palu. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini