ALOR SETAR – Satu mayat lelaki berusia lingkungan 40-an ditemui terapung di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika barat muara Kuala Kedah di sini hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan mayat itu oleh anggota polis dari Balai Polis Kuala Kedah di sini kira-kira pukul 10.35 pagi ini.
“Mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri tersebut ditemui seorang nelayan berusia lingkungan 40-an yang melalui kawasan perairan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah kemudian menggerakkan sebuah bot bersama empat anggota ke lokasi berkenaan.
“Satu mayat lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh kurang 24 jam berjaya ditemui dan dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai kehilangan ahli keluarga.
“Kita meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” jelasnya.
Mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE










