Mangkhut: Filipina makin cemas - Utusan Malaysia

Mangkhut: Filipina makin cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUGUEGARAO, Filipina 14 Sept. – Pihak berkuasa Filipina kini bersiap sedia untuk men­de­pani ancaman Taufan Mang­khut yang dijangka membadai rantau ini dalam tempoh kurang 24 jam dengan membawa hujan lebat dan angin berkelajuan 255 kilometer sejam.

Beribu-ribu penduduk yang tinggal di kawasan pantai di utara Filipina meninggalkan kediaman masing-masing menyelamatkan diri daripada tau­fan yang paling ganas.

Premis-premis perniagaan dan penduduk di Pulau Luzon juga mengukuhkan struktur tingkap dan pintu kediaman masing-ma­sing untuk menghadapi angin kencang.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan, Michael Conag berkata, Fili­pina bakal berdepan dengan satu taufan super yang mampu mengakibatkan kemusnahan dan kematian yang besar.

Hujan lebat dan angin kencang telah mula melanda jauh di timur laut Luzon tetapi tiada sebarang laporan tentang kerosakan besar atau berlakunya banjir.

Para petani di rantau berkenaan yang menghasilkan sebahagian besar keperluan beras dan juga jagung negara ini, berusaha memindahkan hasil tanaman mereka ke­rana bimbang rosak jika berlaku banjir akibat taufan Mangkhut.

Sekurang-kurangnya empat juta penduduk berada di laluan taufan Mangkhut yang dijangka membadai China dan Hong Kong pada hujung minggu ini.

Sementara itu, banjir dan tanah runtuh di kawasan berbukit menjadi keutamaan dan kebimbangan pihak berkuasa negara ini kerana apa yang berlaku boleh menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN