MAIPs nilai kerosakan 160 kediaman terjejas akibat ribut di Perlis - Utusan Malaysia

MAIPs nilai kerosakan 160 kediaman terjejas akibat ribut di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melakukan lawatan bagi menilai kerosakan dan kerugian 160 buah kediaman yang mengalami kerosakan ekoran ribut kencang malam kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, pihaknya telah melakukan lawatan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis.

“Bantuan awal telah diberikan kepada mangsa yang terjejas.

“Namun, sebaik sahaja jumlah kerugian dan anggaran kerosakan dikenal pasti, bantuan akan diberikan kepada mangsa yang layak,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Akhbar Kosmo! melaporkan hari ini, sebanyak 139 kediaman dan 38 sekolah di seluruh Perlis mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan angin kencang berpunca daripada fenomena garis badai yang berlaku kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Mohd. Nazim maips
Mohd. Nazim

 

Tiga kawasan yang teruk dilanda ribut dengan kelajuan 68.7 kilometer sejam dan turut mengakibatkan 192 batang pokok tumbang itu ialah daerah Kangar, Arau dan Padang Besar.

Dalam perkembangan berkaitan, anggota APM Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) masih giat melakukan aktiviti pemotongan pokok yang tumbang.

Namun, jalan-jalan utama di seluruh negeri kini boleh dilalui kenderaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN