Mahkamah arah SPSB, NSTP hadir, 3 Oktober - Utusan Malaysia

Mahkamah arah SPSB, NSTP hadir, 3 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman fitnah RM250 juta syarikat pemaju hartanah dan kontraktor binaan, Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) terhadap akhbar Berita Harian (BH) hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Oktober ini.

Saman tersebut berhubung artikel mengenai projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang didakwa tidak tepat dan berat sebelah telah mencemar reputasi syarikat berkenaan.

Peguam Mohamed Reza Rahim yang mewakili SPSB memberitahu pemberita, ketika pengurusan kes buat kali pertama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aliza Sulaiman hari ini, mahkamah menetapkan tarikh tersebut untuk pengurusan kes selanjutnya.

SPSB selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan bertarikh 20 Jun lalu menamakan The New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) defendan pertama dan wartawan, Che Wan Badrul Alias defendan kedua.

Pihak plaintif menyatakan, defendan pertama pada 21 Disember 2017 telah menerbitkan satu artikel dalam BH yang ditulis oleh defendan kedua bertajuk, Pindah milik tanah Felda Jalan Semarak dicurigai.

Defendan kedua pada keesokannya, dakwa pihak plaintif, menulis pula artikel bertajuk, Agensi ambil apa sahaja tindakan dapat semula tanah bernilai RM270 juta dan pada 23 Disember tahun sama, menerbitkan artikel bertajuk, Nilai tanah RM1B, Harga jual RM270J.

Selanjutnya dakwa pihak plaintif, defendan pertama pada 25 Disember tahun sama menerbitkan artikel bertajuk, Felda berang berita palsu isu tanah Jalan Semarak dan pada 9 Februari lalu didakwa menerbitkan pula artikel bertajuk, Audit Forensik senarai nama Lembaga Pengarah Felda, FIC. (Felda Investment Corporation Sdn. Bhd.)

Kesemua artikel tersebut, dakwa pihak plaintif telah memfitnahnya, berniat jahat dan mengelirukan selain gagal mematuhi nilai-nilai kewartawanan yang betul.

Artikel tersebut membawa maksud antara lain, tindakan pihak plaintif telah menyebabkan Felda kehilangan aset dan mengalami kerugian besar, menggunakan kaedah yang menyalahi undang-undang dan menipu.

Pihak plaintif sehubungan itu memohon defendan pertama membayar ganti rugi RM200 juta dan defendan kedua membayar ganti rugi RM50 juta dalam tempoh tujuh hari kepada pihak plaintif.

Secara alternatif, defendan pertama dan kedua secara bersama dan berasingan membayar RM250 juta kepada plaintif sebagai ganti rugi atas tindak-tanduk mereka.

Yang turut dimohon oleh plaintif, suatu perintah mengarahkan pihak defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi kenyataan atau perkataan yang dinyatakan dalam artikel tersebut berdasarkan terma-terma yang diluluskan oleh plaintif serta ganti rugi am.

Sementara itu pihak defendan yang diwakili peguam M. Rueben dalam pernyataan pembelaan bertarikh 25 Julai lalu menyatakan, artikel pertama, kedua, ketiga dan kelima yang dipertikaikan itu tidak merujuk kepada pihak plaintif.

Pihak defendan berpendapat, kandungan artikel tersebut suatu komen yang adil berhubung perkara berkepentingan awam dan menegaskan bahawa artikel itu tiada kena mengena dengan plaintif dan secara eksklusif menyentuh isu-isu berkepentingan awam yang lebih luas.

Artikel tersebut dakwa pihak defendan, hanya melaporkan tentang transaksi-transaksi yang didakwa mencurigakan dan dakwaan ‘salah laku’ dalam Felda atau FIC dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×