KUALA LUMPUR 29 Sept. – Pada saat UMNO berdepan kehilangan pemimpin yang disanjung tinggi, Pergerakan Wanita UMNO melihat aku janji taat setia atau baiah UMNO untuk ahli-ahli sebagai perkara penting ketika ini.
Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad merasakan ikrar itu adalah platform untuk membuktikan ketaatan dan kesetiaan ahli kepada parti yang sedang diuji.
“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya memanjatkan harapan agar dapat mempertimbangkan suara dan harapan Pergerakan Wanita UMNO ini.
“Wanita menggesa agar parti memastikan satu reformasi terpimpin terhadap Perlembagaan UMNO dibuat bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya khususnya wakil rakyat yang keluar parti secara semberono,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sambil menyifatkan reformasi itu sebagai kunci untuk menjaga kesetiaan dan integriti seseorang ahli, Noraini melihat jika tanpanya, maka pengkhianatan besar terhadap rakyat akan berlaku dalam kalangan ahli UMNO.
Beliau seterusnya meminta Presiden parti untuk melihat aspek sekiranya ada wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) keluar parti maka mereka perlu memulangkan semula kerusi tersebut.
“Meskipun ia bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial.
Mereka telah menghancurkan kepercayaan parti dan mengkhianati amanah pengundi,” jelasnya.
Turut diutarakan beliau untuk diambil perhatian oleh Presiden parti adalah mengizinkan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi bagi menentukan beberapa polisi utama yang bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan di negeri itu.
Tidak terkecuali, katanya, memohon parti mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah gabungan baharu bagi memperkasakan BN yang kini dianggap semakin lesu.










