Lima Ahli Majlis Penasihat Naib Canselor bantu pembaharuan UUM - Utusan Malaysia

Lima Ahli Majlis Penasihat Naib Canselor bantu pembaharuan UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 17 Sept. – Pihak pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) melantik lima orang pensyarah kanan menganggotai Majlis Penasihatan Naib Canselor dalam misi pembaharuan universiti yang berteraskan ‘menginsankan pendidikan’.


Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, mereka terdiri daripada Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Prof Dr Zurni Omar; Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Prof Dr Che Sobry Abdullah; Pengarah Pusat Asasi, Prof Dr Abd Razak Yaakub; Pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof Dr Ku Ruhana Ku Mahamud dan Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof Dr Abdul Razak Chik.

Katanya, anggota majlis itu dilantik minggu lalu yang berperanan membantu naib canselor dalam penyelidikan mengikut bidang kepakaran masing-masing agar UUM tidak lagi tertumpu kepada akademik tetapi melibatkan pendidikan kemasyarakatan.


”UUM sebuah universiti pengurusan dengan Moto: Ilmu, Budi, Bakti dan kita nak melahirkan mahasiswa yang holistik yang bukan sahaja pintar dari segi akademik malah boleh menjadi modal insan pada masa depan dari segi kepimpinan dan aspek lain.

Ini salah satu pembaharuan kita agar dapat melahirkan pelajar yang berkeupayaan dan lengkap melengkapi serta berani dalam mengharungi era global yang kian mencabar ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beberapa pembaharuan lain akan dilaksanakan antaranya memperkasakan Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM) menerusi penstrukturan semula kluster penting antaranya Ekonomi dan Pelancongan bagi memastikan kajian yang dijalankan berteraskan praktikal dan bukan lagi teori.

“Dalam misi kita menginsankan pendidikan, kita juga bersetuju dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengkaji cadangan pindaan dan pemansuhan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 terutama yang menyekat kebebasan pergerakan pelajar melalui Seksyen 15 dan 16 kerana kita mahu beri peluang dan ruang kepada mahasiswa untuk bersuara.

Katanya, kajian akan dibuat untuk membolehkan mahasiswa menggangotai Jawatankuasa Pengurusan Akademik Universiti, memperkenalkan ‘medan intelektual terbuka’ melalui Debat Perdana UUM dan mewujudkan sudut pidato.

“Mahasiswa ketika ini perlu diberi ruang, namun mereka telah diberi didikan dan tahu mana yang baik dan yang buruk dan pembaharuan ini juga termasuklah melaksanakan proses tranformasi digital yang lebih agresif selain bergerak menuju ke era peringkat antarabangsa dan bersaing dengan universiti terkemuka dunia,” katanya. – BERNAMA



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN