PENGASAS dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emerirus Dr. Lim Kok Wing dipilih sebagai penerima pengiktirafan tertinggi Lord Of The Manor bagi tahun 2018 untuk Daerah Somerset, Britain, iaitu pengiktirafan untuk perusahaan dalam Pendidikan Antarabangsa.
Kok wing menerima anugerah Holton In The County Of Somerset yang disampaikan oleh Manorial Domini Villicum Somerset, Stephen Evans di London, Britain, baru-baru ini.
Sementara itu, Kok Wing berkata, beliau amat berterima kasih kepada Lord Of The Manor Somerset, Britain atas pengiktirafan tersebut dan ia akan menjadi satu galakan bagi meneruskan usaha seperti itu.
“Saya juga menerima penghormatan ini bagi pihak semua rakyat Malaysia yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan saya bagi melaksanakan program pendidikan antarabangsa sebagai satu daripada komponen penting dan inovatif dan kreatif dalam sistem pendidikan Malaysia.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menjadi sumber inspirasi dan tonggak kekuatan bagi menggalak dan membolehkan saya menyumbang kepada negara saya dan seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, Stephen Evans memuji Lim Kok Wing atas penglibatan beliau secara berterusan bagi memperkasa pendidikan belia di peringkat antarabangsa.
“Beliau aktif mempromosi pendidikan di negara-negara di Afrika, usaha yang digerakkan di seluruh dunia, untuk membangunkan pendidikan kanak-kanak terutama di negara-negara yang sedang membangun.
“Universiti Limkokwing satu contoh terbaik bagi meningkatkan pembangunan kanak-kanak dan belia di seluruh dunia,” katanya.
Inisiatif mengadakan program pendidikan antarabangsa Universiti Limkokwing dimulakan pada Januari 2004 bagi rakyat Malaysia dan belia yang kurang bernasib baik dan kemudian dikembangkan bagi memenuhi keperluan mereka yang lain di seluruh dunia.










