Lembaga SIC diwakili penggiat sukan motor - Utusan Malaysia

Lembaga SIC diwakili penggiat sukan motor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 13 Sept. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menyarankan Lembaga Pengarah Sepang International Circuit (SIC) turut mempunyai perwakilan daripada kalangan penggiat sukan motor yang mahir dan berpengalaman serta berpengaruh.

“Kita perlu memastikan mereka yang berkepakaran, berpengalaman dan berpengaruh dapat tempat rasmi sebagai perwakilan Lembaga Pengarah SIC yang ketika ini hanya diduduki oleh ahli-ahli perniagaan.

“Selepas kita hentikan penganjuran F1 (Formula Satu), perlu ada alternatif untuk membantu golongan belia ini daripada terjerumus dengan gejala mat rempit (lumba haram) di jalan-jalan raya yang mengancam masa depan mereka dan keluarga.

“Lebih baik kita ada perwakilan golongan sebegini dalam lembaga itu (supaya) ada struktur sendiri (dalam) membantu Mat-mat Motor (pelumba),” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2018 di Menara KBS di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman Hakim Ali yang juga Ahli Lembaga Pengarah SIC (syarikat pengendali Litar F1 Sepang) dan Ron Hogg, Pengarah Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Syed Saddiq menambah, kementerian turut ingin mendengar pandangan komuniti sukan permotoran ini dalam satu pertemuan umum 2 Oktober ini supaya dapat mencari titik pertemuan ke arah mencapai misi memajukan sukan berkenaan.

Beliau selain itu menggesa pihak penaja kalangan korporat agar tidak lagi hanya ‘duduk di tepi’ atau tampil meraikan kejayaan atlet-atlet yang sudah ternama dan berjaya sebaliknya turut membantu pembangunan sukan daripada peringkat akar umbi lagi.

“Kita mungkin perlu ada kembali Program Rakan Sukan yang melibatkan korporat seperti zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Belia dan Sukan pada 1995 hingga 1999) supaya lebih banyak syarikat melabur dalam pembangunan sukan akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Mini Cub Prix KBS yang melibatkan lima pusingan di Serdang, Kuala Terengganu, Batu Kawan, Jempol dan Bandar Penawar dari Ahad ini hingga 16 Disember akan menampilkan empat kategori umur, Kidz, Cadet, Open dan Junior bagi para pelumba berusia enam hingga 12 tahun.

Empat pelumba terbaik selepas lima pusingan, akan diberikan penajaan penuh bagi satu slot satu perlumbaan khas Honda atau Yamaha pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN