BINTULU – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Tanjung Kidurong di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Razis Ismail, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah di kepalanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Bintulu dari arah Tanjung Kidurong di sini.
Bagaimanapun katanya, sebuah kereta yang dipandu lelaki yang bekerja sebagai pemandu ambulans secara tiba-tiba merempuh belakang motosikal mangsa.
“Impak rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah di kepalanya.
“Manakala, pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson menambah, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu kereta yang berusia 42 tahun itu.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat terlebih Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” ujarnya. – K! ONLINE










