PERMATANG PAUH 28 Sept. – Seorang lelaki terbunuh selepas digilis lori treler di Kilometer 136 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Seberang Jaya, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa Ng Kim Sneah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian itu berpunca daripada sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun yang berhenti di lorong kecemasan akibat mengesyaki mengalami masalah brek.
“Dia membuka pintu kereta secara tiba-tiba sebelum mangsa yang tidak sempat mengelak melanggar pintu kereta itu sebelum terpelanting ke tengah jalan.
“Mangsa yang berasal dari Taman Dedap, Butterworth kemudian digilis oleh treler yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat. – UTUSAN ONLINE











