Lelaki didakwa edar 27kg methamphetamine - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa edar 27kg methamphetamine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 25 Sept. – Seorang lelaki berhadapan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine de­ngan berat kasar 27.2 kilogram (kg) di sebuah kilang di Bukit Tengah, dua minggu lalu.

Lee Wooi Keong, 46, me­ngangguk tanda faham selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, Wooi Keong didakwa mengedar dadah tersebut seberat 27,275 gram di nombor 60-62 Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bukit Tengah, di sini pada pukul 3 pagi, 12 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Afiqah Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Kes ini mendapat liputan meluas apabila polis menyerbu sebuah kilang di Bukit Tengah di sini dan menemukan pusat memproses dadah itu.

Dalam serbuan di kilang terbabit, polis merampas pelbagai jenis dadah, bahan ki­mia dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM72.5 juta.

Antara yang turut dirampas adalah 2.13 juta biji pil disyaki erimin 5, sebanyak 742.6 kg serbuk dadah disyaki erimin 5 (yang boleh menghasilkan 2.47 juta biji pil), 5,080 biji pil disyaki ekstasi, 53.7 kg cecair bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses pil eri­min 5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini