PONTIAN 19 Sept. – Golongan nelayan di Kampung Sungai Chengkih, Serkat dekat sini bersyukur apabila jeti kayu yang digunakan mereka untuk turun dan memunggah hasil tangkapan selama ini yang usang kini siap dibaiki.
Projek komuniti yang dilaksanakan oleh Etiqa Insurans Takaful yang mendapat kerjasama daripada Islamic Aids Malaysia (IAM) itu berjaya disiapkan pada bulan lalu demi kegunaan kira-kira 50 nelayan pantai di kampung berkenaan.
Pegawai Eksekutif Etiqa Insurans Takaful Wilayah Selatan, Mohd. Yunos Mohd. So’od bersyukur kerana kerja-kerja membaik pulih jeti itu dapat dilaksanakan dalam tempoh sebulan seperti yang ditetapkan.
“Jeti yang telah berusia lebih 20 tahun itu merupakan nadi penting kepada golongan nelayan untuk membawa hasil tangkapan mereka ke darat dengan selamat,” katanya pada majlis penyerahan jeti kepada Ketua Pakatan Nelayan Sungai Chengkih, Ismail Johar, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah.
Mohd. Yunos berkata, pihaknya telah menggantikan kayu-kayu yang reput dengan bahan lebih baik dan tahan lama, selain membina pondok rehat dan pancang baharu untuk bot atau sampan berlabuh.
“Projek ini juga diharap menambah pendapatan nelayan dan mereka dapat turun ke laut dengan selamat termasuk ketika air pasang kerana jeti baharu ini dibina lebih tinggi, ” katanya.
Sementara itu, Ismail berterima kasih kepada Etiqa Insurans Takaful dan IAM kerana membantu membaiki jeti itu demi kemudahan mereka untuk mencari rezeki bagi keluarga masing-masing.
“Kita ada jeti yang kukuh dan selamat, nelayan tidak bimbang termasuk untuk membawa hasil tangkapan ke darat dengan segera,” katanya.










