SAUDARA PENGARANG, LANGKAH Kajang berulang lagi! Kali ini Danyal Balagopal Abdullah mengulangi apa yang dilakukan oleh Lee Chin Cheh selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Penduduk Port Dickson terpaksalah keluar mengundi sekali lagi. Tarikhnya masih belum ditentukan tetapi itulah mainan politik. Membazir atau sia-sia hanyalah cakap-cakap orang di luar ‘pentas’, orang di atas ‘pentas’ mahu mencapai hasrat dan cita-cita.
Apakah Barisan Nasional (BN) atau Pas akan meletakkan calon masih menjadi teka-teki tetapi UMNO nampaknya bersemangat untuk berjuang. Pas sudah menyatakan hasrat mahu membantu sekiranya UMNO bertanding.
MIC pula memutuskan tidak akan campur tangan. Mengikut tradisi BN, kerusi itu adalah milik MIC. Apakah MIC sudah mula menjauhkan diri daripada BN? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berbangga sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri atas sokongan bukan Melayu?
Anwar jangan terlalu gopoh hendak menjadi Perdana Menteri. Jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’. Bagi UMNO dan Pas, kalau benar-benar mahu berjuang di Port Dickson, perlulah bersungguh-sungguh.
Perlihatkan kerjasama yang benar-benar ikhlas. Bukan saja di peringkat pimpinan atasan duduk semeja, di peringkat akar umbi dan ahli-ahli mesti sanggup makan sedulang. Ahli Pas jangan ada rasa kekok atau panas pegang bendera UMNO, begitu jugalah sebaliknya.
Kerjasama ini perlu lebih mantap dari PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Percayalah, majoriti orang Melayu masih mengharapkan UMNO dan Pas. Politik orang Melayu ‘rohnya’ adalah UMNO dan Pas. Asasnya ikhlas kerana Allah untuk membela agama, bangsa dan negara.
Cicit Wan Ngah
Chenor, Pahang









