TOKYO – Jepun mengadakan latihan kapal selam pertama di Laut China Selatan, lapor sebuah akhbar semalam, langkah yang boleh mencetuskan provokasi berikutan Beijing menuntut hampir keseluruhan perairan tuntutan bertindih itu.
Akhbar Asahi Shimbun melaporkan, kapal selam Kuroshio menyertai tiga kapal perang Jepun di sebuah perairan ke barat daya Terumbu Scarborough yang diduduki China.
China menuntut sebahagian besar sumber kekayaan di Laut China Selatan yang menjadi laluan kapal-kapal dagang membawa muatan bernilai AS$5 trilion (RM20.6 trilion) setahun. Perairan itu juga dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Ketegangan berhubung isu Terumbu Scarborough meningkat sejak Beijing merampasnya daripada Manila pada tahun 2012.
Menurut Asahi Shimbun, latihan kapal selam itu merupakan yang pertama oleh Tokyo di Laut China Selatan.
Tentera laut Jepun melakukan latihan antikapal selam termasuk cara mengesan kapal selam musuh dengan menggunakan peralatan sonar, lapor akhbar itu yang memetik sumber kerajaan Jepun.
Sumber itu berkata, latihan tentera laut itu tidak melanggar undang-undang kerana diadakan di perairan neutral dengan akses yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa. – AFP










