BINZ, Jerman – Seorang pemilik restoran tradisional di Pulau Rugen dikritik kerana mengenakan sekatan ke atas kanak-kanak berusia 14 tahun dan ke bawah memasuki premisnya selepas pukul 5 petang.
Pemilik itu dikatakan kesal dengan perangai dan tingkah laku nakal kanak-kanak yang mendorong beliau membuat keputusan keterlaluan itu, dengan menyekat mereka daripada memasuki restorannya.
Dia turut meletakkan sebuah papan tanda berhampiran pintu masuk supaya pelanggan mengetahui bahawa restorannya merupakan satu-satunya restoran untuk golongan dewasa pada lewat petang dan malam.
Meskipun dituduh mengamalkan diskriminasi, namun Markl berkata, langkah itu telah sekian lama wujud dan dia merancang untuk menguatkuasakannya.
“Kami…, entah macam mana telah sampai ke tahap di mana anda akan berkata, ‘Ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku’.
“Kami tidak berada di sini untuk membesarkan anak-anak yang buruk perangai sehingga menjejaskan pelanggan kami yang lain,” katanya kepada agensi berita Jerman DPA.
Markl memberitahu pemberita, sikap kanak-kanak dan ibu bapa didapati semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, terdapat kanak-kanak menarik alas meja, menjatuhkan gelas wain atau merempuh pelayan yang membawa dulang, manakala ibu bapa mereka bukan sahaja membiarkan, malah tersenyum melihat tingkah laku anak masing-masing.
Paling teruk berlaku baru-baru ini, apabila beberapa kanak-kanak menghancurkan inventori restoran dan menyebabkan beberapa foto antik rosak.
Pemangku ketua pejabat anti-diskriminasi Jerman, Bernhard Franke mempersoalkan adakah tindakan Markl itu dilakukan mengikut undang-undang.
Katanya kepada n-tv, pemilik restoran itu sepatutnya mengemukakan satu alasan yang serius untuk menafikan satu kumpulan usia pelanggan. Alasan bunyi bising yang kuat akan mengganggu pelanggan lain tidak mencukupi untuk melaksanakan peraturan tersebut.
Pemilik restoran itu bagaimanapun menafikan tuduhan diskriminasi dan mengatakan bahawa had umur bukan bertujuan ‘menghukum’ kanak-kanak, sebaliknya menghukum ibu bapa yang tidak pandai mengawal anak-anak mereka.
Markl menambah bahawa dia mahu restorannya menjadi sebuah oasis yang mendamaikan untuk pelanggannya dan itu tidak boleh dilakukan dalam keadaan kanak-kanak berlari ke sana dan sini, serta mencetuskan suasana riuh sepanjang masa.
Tindakan Markl itu telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan media di Jerman. Walaupun sesetengah pihak menganggap sekatan umur itu sesuatu yang ekstrem dan diskriminasi, namun Markl mendakwa kebanyakan daripada pelanggan memuji keputusan itu.
Menariknya, ini bukan kali pertama sebuah restoran menjadi tajuk utama kerana menafikan kemasukan kanak-kanak.
Tahun lalu, pemilik sebuah restoran mewah sajian Itali di Mooresville, Utara Carolina, Amerika Syarikat turut mendapat perhatian media apabila menyekat kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan mendakwa selepas sekatan itu dilaksanakan, perniagaan mereka semakin meningkat naik. – ODDITYCENTRAL










