SERI MANJUNG – Seorang lelaki ditahan dan kira-kira 2,000 liter minyak diesel bersubsidi disita oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Manjung dalam satu serbuan di sebuah premis di sini Khamis lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa PPDNHEP Manjung, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor berkata, dalam serbuan itu juga, pihaknya turut menyita sebuah lori dan dua tangki fiber yang digunakan sebagai tempat simpanan bahan bakar tersebut.
“Serbuan tersebut dibuat selepas kita menerima aduan daripada orang ramai menyatakan terdapat aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di premis tersebut.
“Berdasarkan pemerhatian dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, kita mendapati pemilik premis tersebut menerima bekalan minyak diesel daripada beberapa pembekal di sekitar negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Suhaimi, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM57,600 merangkumi RM4,600 untuk minyak diesel, tangki fiber (RM1,000) dan RM52,000 untuk lori.
Katanya, minyak diesel itu akan disimpan sementara sebelum dijual kepada pelanggan yang kebanyakannya pihak kilang dan industri di sekitar Manjung dan Teluk Intan.
“Siasatan terhadap pemilik premis berusia 44 tahun itu juga mendapati syarikat tersebut pernah diambil tindakan pada tahun 2013 kerana memiliki barang kawalan diesel tanpa lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Syarikat ini juga telah menerima bekalan minyak diesel secara tidak sah daripada beberapa pembekal atau pemborong yang mempunyai lesen di sekitar Perak,” katanya.
Katanya, pemilik syarikat juga didapati menjual minyak diesel dan produk campuran diesel kepada kilang atau industri di Teluk Intan dan Manjung. – K! ONLINE










