KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sebanyak 2,354 utas jam tangan tiruan jenama terkenal bernilai kira-kira RM70,620 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Botanik, di sini semalam.
Serbuan bermula kira-kira pukul 1 petang diketuai pegawai penguat kuasa, Mohd. Buhairi Ahmad itu turut menahan dua wanita yang juga pekerja premis berkenaan berusia lingkungan 20-an.
Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang diterima berkaitan kegiatan premis berkenaan.
“Hasil serbuan dipremis berkenaan sebanyak 2,354 utas jam tangan pelbagai jenama telah disita dalam operasi itu.
“Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan kira-kira RM70,620. Siasatan juga mendapati premis terbabit telah beroperasi sejak dua tahun lalu dengan mendapatkan barangan tiruan ini dari negara jiran untuk dipasarkan di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan berselindung di sebalik premis menjual mainan kanak-kanak secara atas talian.
“Kesemua barangan yang dirampas telah dibawa ke stor penyimpanan KPDNHEP Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) kerana membekalkan atau menawarkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu.
Jika sabit kesalahan individu terlibat boleh didenda maksimun RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, manakala jika premis dimiliki oleh syarikat, pemilik syarikat boleh didenda maksimum RM15,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE










