NILAI 22 Sept. – Lebih 500 peminat kenderaan pacuan empat roda di seluruh negeri menyertai konvoi sejauh 18 kilometer bermula di Stadium Tertutup di sini hari ini.
Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (Malaysian 4WD) , Datuk Azizul Rahman Abdul Wahab berkata, konvoi melibatkan kira-kira 200 buah kenderaan itu berakhir di Kota Seriemas Golf @Country Club selepas mengelilingi Bandar Nilai.
“Program anjuran Malaysian 4WD ini diadakan sebagai sokongan serta memberi inspirasi kepada golongan belia yang berminat dengan kenderaan itu selain dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam pasukan.
“Selain itu, buat pertama kalinya persatuan turut menganjurkan pertandingan sukan lasak 4×4 pada waktu malam yang bermula pada pukul 6 petang sehingga 1 pagi semalam dan kembali berlangsung pada pagi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis pelepasan konvoi itu disempurnakan oleh Penolong Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Zul Fadhli Abd Aziz.
Tambah Azizul Rahman, pertandingan kali ini mendapat sambutan luar jangkaan iaitu 55 penyertaan berbanding 33 buah kenderaan pada tahun lepas. – UTUSAN ONLINE











