SESEKALI penulis memerhatikan seorang pakcik tua yang masih kuat kudratnya untuk mengawal pergerakan perahu di hadapan menyelusuri Sungai Mujok menggunakan sebatang kayu panjang.
Ada masanya pak cik yang berusia 60-an itu duduk seketika. Mungkin lelah sudah mula terasa. Namun, ketika menghampiri kawasan aliran sungai yang deras, sepantas kilat pak cik tadi bangkit lalu menggerak-gerakkan kayunya bagi mengawal perahu agar tidak terbalik.
Rasa kagum melihat aksi spontan pakcik itu yang begitu bertenaga mengemudi perahu yang ketika itu sedang menongkah arus sungai yang kuat dan mencabar. Segala urat di tangannya jelas kelihatan, sementara keringat mengalir membasahi pakaiannya.
Batang kayu itu sentiasa ‘setia’ di sisi tuannya. Teguh menahan perahu daripada menerjah tebing sungai. Semakin deras aliran sungai, semakin tinggi daya usaha diperlukan bagi memastikan kelancaran pergerakan perahu.
Ketika menyelusuri bahagian tengah sungai yang cetek, perahu digerakkan ke tepi sungai yang mana paras air di situ lebih dalam.
Apabila pergerakan perahu tersekat tatkala melalui kawasan berbatu dan kedalaman air terlalu rendah, pengemudi dan pembantunya turun menolak perahu.
Begitulah situasi yang dapat disaksikan rombongan UMW Corporation Sdn. Bhd. (UMW), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan pengamal media ketika dalam perjalanan menyelusuri Sungai Mujok bagi merealisasikan Misi Klinik Bergerak baru-baru ini.
Jujur saya akui, ia merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna yang akan diingati sampai bila-bila. Perjalanan berperahu itu memakan masa kira-kira lima jam, melibatkan 19 buah perahu kesemuanya.
Setiap perahu membawa empat hingga lima orang termasuk pengemudi dan pembantunya. Pada saat memandang mereka bertungkus lumus mengendalikan perahu panjang berukuran 9.75 meter yang dilengkapi enjin berkapasiti 15 kuasa kuda itu, mata saya tertarik melihat sebuah perahu berwarna merah jambu.
Bukan kerana warnanya yang terang dan feminin. Apa yang membuatkan saya merasa kagum adalah dalam ramai-ramai pengemudi perahu lelaki, ada wanita hebat dan perkasa turut mengendalikan pengangkutan air itu.
Antara wanita itu ialah Anchang Bandar, 30, salah seorang penduduk daripada etnik Iban yang tinggal di Rumah (RH) Mengiring.
Kekuatan wanita itu mengawal pergerakan perahu menandingi pengemudi lelaki yang lain.
Agak mengejutkan apabila ibu kepada tiga anak itu mendedahkan kebolehannya mengemudi perahu dimiliki sejak usia tujuh tahun lagi.
Dia bukan sahaja mahir mengemudi atau menyais di bahagian hadapan perahu, malah boleh mengendalikan enjin dengan kapasiti antara 15 hingga 30 kuasa kuda.
Tentu tidak bagi saya untuk melakukan pekerjaan itu, apatah lagi memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi.
Selain pentingnya momentum kekuatan tangan, seseorang perlu pandai berenang dan tahu mengimbangi badan.
“Masa mula-mula belajar dulu, saya selalu terjatuh dari perahu sehingga mengalami luka dan berdarah. Namun, saya tidak pernah serik dan tetap teruskan juga.
“Sebelum belajar bawa perahu, kita kena pandai berenang. Lepas itu, kena belajar imbang badan dengan betul bagi mengelak terjatuh ke dalam sungai apabila perahu terlanggar batu,” katanya.
Jika dibandingkan antara pengemudi perahu di bahagian belakang dan hadapan, menurutnya, individu yang berada di hadapan memainkan peranan sangat penting dan paling kritikal.
“Kawal bahagian depan lagi susah daripada handle enjin. Orang yang berada di hadapan perlu sentiasa alert dengan keadaan sungai dan dia yang menentukan arah tuju perahu.
“Sekiranya ada batu besar atau tunggul kayu di hadapan, kena cepat beritahu pengemudi di bahagian belakang supaya mereka tahu apa tindakan seterusnya,” katanya.
Langkah itu cukup penting bagi mengelak perahu pecah atau enjin rosak akibat terlanggar objek keras.
“Paling penting kena sentiasa tahu dan pantau paras atau kedalaman sungai bagi memudahkan enjin dikendalikan,”katanya.
Meskipun Anchang mahir mengendalikan enjin, namun tenaga lelaki biasanya sangat diperlukan ketika melalui kawasan cetek.
“Enjin akan jadi lebih berat jika melalui kedalaman paras air yang rendah.
“Saya boleh kawal enjin tetapi perlu tenaga banyak untuk mengangkat enjin ketika paras air cetek. Sebab itu, lelaki lebih sesuai menjadi pengemudi di bahagian belakang,”katanya.
Berpuluh-puluh tahun membantu suaminya mengemudi perahu, Anchang tidak menafikan pernah melalui detik perahu terbalik akibat gelombang arus yang kuat.
“Ketika melalui kawasan air pasang, perahu yang dibawa suami dan saya, tiba-tiba terbalik. Habis rosak barang dapur dan baja yang baru dibeli di pasar.
“Sebab itu, pengetahuan tentang aliran sungai amat penting.
“Keadaan dan paras air sungai akan menentukan kelancaran perahu. Paras air terlalu cetek menyekat pergerakan perahu namun, kalau air naik terlalu tinggi, ia juga berisiko, sebab gelombang arusnya besar,” ujarnya.
Menurutnya, situasi itu berisiko menyebabkan perahu terbalik dan tenggelam. Malah. berat beban yang dibawa juga mempengaruhi imbangan perahu.
“Pada waktu tertentu, terutama ketika hujan, paras air sungai akan meningkat dan menjadi lebih deras.
“Walau bagaimanapun adalah lebih baik teruskan sahaja perjalanan. Jangan berhenti kerana perjalanan akan lebih mencabar dan berisiko apabila air naik terlalu besar,” katanya.










