KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengenakan levi RM15 bagi setiap tan sisa plastik yang diimport dari serata dunia menerusi permit import (AP) disifatkan sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan menteri dan pegawai kerajaan tidak mengendahkan masalah kesihatan rakyat.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, keputusan kerajaan meneruskan import ‘sampah dunia’ tersebut bertentangan dengan perjuangan badan itu yang mahu menjaga alam sekitar.
“Membuka semula AP import sisa plastik selepas 23 Oktober ini dengan levi hanya RM15 bagi setiap tan sampah membayangkan kerajaan tidak peduli langsung dengan kesan buruk akibat aktiviti memproses sisa plastik kepada penduduk,” kata beliau ketika dihubungi semalam.











