BANGI – Malaysia masih memerlukan loji nuklear bagi menghasilkan sumber tenaga baharu sebagai persediaan menggantikan sumber tenaga semula jadi seperti arang batu atau fosil dalam menjana tenaga elektrik.
Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Nuklear Malaysia (WiN), Dr. Noor Hasnah Khairullah (gambar kecil) berkata, kerajaan berhak membuat keputusan untuk tidak memiliki loji tersebut tetapi demi masa hadapan untuk negara memiliki sumber yang berterusan, kerajaan juga perlu mencari alternatif lain.
“Bekalan tenaga melalui fosil atau arang batu lama kelamaan akan habis dan melalui sumber-sumber tenaga lain seperti solar atau hidro hanya memberikan sumbangan yang agak kecil dalam menjana tenaga.
“Walaupun kos yang agak tinggi untuk membina loji nuklear namun untuk jangka masa yang panjang ia sebenarnya mampu mengurangkan kos keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Tahunan WiN kali ketiga.
Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Agensi Nuklear Malaysia, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Hashim di Agensi Nuklear Malaysia di sini semalam.










