KUALA LUMPUR 19 Sept. – Keputusan dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Datuk Seri Anifah Aman meletakkan jawatan dan keluar dari parti dianggap tidak mengejutkan kerana tindakan itu sudah dijangka.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, kedua-dua tokoh pemimpin tersebut sememangnya mempunyai masalah tersendiri sehingga mengambil keputusan meninggalkan parti keramat Melayu itu.
Katanya, khabar angin yang mengatakan ramai lagi pemimpin akan mengikuti jejak langkah Mustapa dan Anifah keluar UMNO juga dianggap tidak benar.
“Kita tak kata ada atau tidak (pemimpin keluar parti), namun jika dilihat kepada sejarah UMNO, pemimpin datang dan pergi. Kekuatan UMNO bukan bergantung kepada satu orang tetapi rakyat yang mendukung.
“Buat masa ini hanya Anifah sudah pun menghantar surat rasmi memaklumkan mengenai peletakan jawatan beliau. Tok Pa (Mustapa) belum lagi kerana saya difahamkan beliau berada di luar negara tetapi saya sudah menghantar pesanan kepada beliau untuk sahkan perkara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tertutup kepemimpinan UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











